Redirect You

This page is just an archive for all my old posts. My new blog is at blog.sayfurrahman.com. Thank you.

08 March 2007

Pasrahkan Diri

Aku lantas terjaga.

Kegusaran menghantui benak fikiranku yang gusar. Gusar akibat mimpi yang kukira tidak keruan maknanya.

Aku beristighfar. Astaghfirullahal'azhim. Ku cuba untuk mententeramkan jiwa yang resah ini.

Aku bangun. Segera mengingatkan diri kepada Allah. Tuhan yang Maha Pencipta. Tuhan yang Maha Kuasa. Aku segera mengucapkan, Laa ilaha illa Allah... Kalimah tauhid yang Rasulullah diutuskan untuk menyampaikannya.

Aku menyapu mukaku. Mengurut-urut dahiku yang berkedut menahan gundah. Jemariku ku leretkan mengurut seluruh anggota kepalaku menurun ke leher.

Aku bangkit dari pembaringan, lantas aku duduk di sisi katil. Masih berfikir. Berfikir akan mimpi yang menghantui fikiranku. Mahu sahaja nafsuku mentafsir pelbagai perkara dari sudut yang pelbagai juga. Namun ku tolak semua itu. Aku tahu. Betapa mimpi mudah dibuat mainan syaitan arRajiim.

Perlahan-lahan aku mengangkat diriku. Berdiri. Membiarkan darah mengalir ke seluruh badan. Membiarkan kembali tenaga yang hilang ketika tidur. Masih aku beristighfar dan berdzikir.

Aku merujuk jam dinding. Putih. Sengaja aku pilih putih, dengan jarumnya hitam. Mudah untuk ku rujuk waktu pada malam yang hening gelap gelita.

Jam mempamerkan pukul dua setengah pagi. Masih awal. Masih muda hari ini. Namun aku sedar. Jika aku tidak ambil peluang ini, maka aku akan rugi. Tertinggal untuk mengutip saham akhirat. Saham yang waktunya terhad untuk dikumpul pada waktu pagi. Pada waktu dan ketika makhluk masih tidur, melainkan jiwa yang merdeka dari dunia. Jiwa yang inginkan kebahagian yang melebihi apa yang dikecapnya di alam fana ini.

Aku memaksa tubuh yang masih kemalasan ini ke bilik air. Segera ku tunaikan hajat jasad yang terkumpul tika tidurku. Kemudian aku bersuci dengan kaedah penyucian yang begitu hikmah. Wudhu'.

Sebuah kaedah penyucian yang diajarkan arRasul (saw) kepada ummah. Penyucian yang terangkum di dalamnya sebuah penghayatan menyucikan jiwa. Sebuah penghayatan untuk terus mengaplikasikan sebuah deen dalam kehidupan seharian. Betapa mudahnya agama. Betapa hebatnya hikmah yang Maha Pencipta. Dijadikannya sesuatu bukan untuk menyusahkan, malah untuk memudahkan dan membantu hambaNya. Ku ucapkan Allahuakbar dengan kekaguman padaNya yang bertandang di onak fikiranku.

Selesai aku bersuci, aku keluar. Aku membentang sejadah. Bersedia untuk pasrahkan diri padaNya.

Niat aku pasang di dalam dada. Allahuakbar. Solat malamku bermula. Di dalam solat aku cuba untuk mengahayati bait-bait ayat-ayat kasih Allah yang kualunkan sendirian. Sebuah nukilan agung...

"Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang Memelihara dan Mentadbirkan sekalian alam. Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari akhirat). Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan. Tunjukilah kami jalan yang lurus. Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat." (alFatihah:1-7)

Aku cuba untuk mengkhusyu'kan diri. Pasrah dan berserah kepada Allah. Aku teruskan bacaanku.

"Saat yang tetap berlaku itu. Apakah dia sifat dan keadaan saat yang tetap berlaku itu? Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui tentang sifat dan keadaan saat yang tetap berlaku itu? (Saat itu ialah hari kiamat). Kaum Thamud dan Aad telah mendustakan hari (kiamat) yang menggempar dan mengharukan itu. Maka (masing-masing menerima azab dunianya), adapun Thamud (kaum Nabi Soleh), maka mereka telah dibinasakan dengan (petir) yang melampau dahsyatnya. Adapun Aad (kaum Nabi Hud), maka mereka telah dibinasakan dengan angin ribut yang kencang, yang melampau kencangnya. Yang diarahkannya menyerang mereka tujuh malam lapan hari terus-menerus; (kalaulah engkau menyaksikannya) maka engkau akan melihat kaum itu bergelimpangan mati, seolah-olah mereka batang-batang pohon kurma yang (tumbang dan) lompang. Dengan yang demikian, dapatkah engkau melihat lagi sisa-sisa mereka (yang masih hidup)?" (alHaaqqah:1-8)

Lantas air mataku jatuh berderai. Aku tersedu. Aku takut. Aku takut wahai Allah! Aku tidak mahu menjadi seperti itu ya Allah! Aku tidak mahu diseksa sedemikian ya Allah! Aku takut!! Aku takut dengan 'adzab seksaMu... Sekalipun didunia ini ya Allah...

Aku tundukkan kepalaku. Air mataku masih mengalir. Mengalir dengan rasa kesal atas dosa yang telah banyak ku lakukan. Sedar atau tidak sedar aku mengerti bahawa aku masih manusia. Dan aku tahu. Manusia tidak akan sekali-kali terlepas dari berbuat dosa.

Aku memohon. Berharap. Moga semua dosaku Engkau ampunkan wahai Allah. Moga segala silapku Engkau maafkan. Wahai Allah. Wahai arRahman, wahai arRahiim.

Sehabisnya malam itu gunakan dengan sempurna. Aku hayati sujudku. Aku penuhkan hatiku sedayaku dengan keikhlasan sekadar yang ku termampu. Kerana aku tahu. Mungkin itulah saat terakhirnya hidupku...


- 'Umayr SRA, cuba menghayati cinta rabbaniy melalui kisah dan tulisan.

p/s: Gambaran sketsa di atas bukanlah pengalaman penulis. Tetapi ambillah sekadar mana untuk mengubat jiwa yang kian terlupa.

Search The Web