Redirect You

This page is just an archive for all my old posts. My new blog is at blog.sayfurrahman.com. Thank you.

10 March 2007

Cerpen: Beban dan Tanggungan

Aku termangu. Termenung memandang skrin komputer yang berkelip-kelip. Tidak tahu apa yang harus ku buat.

Bukan sekali. Namun sudah beberapa hari aku mengalami kebuntuan yang mengumpul rasa resah di dada. Rasa resah yang kian membawa kekusutan fikiran. Dan ianya berputar tanpa belas. Dalam pusingan demi pusingan tindakan yang saling mengukuhkan yang lain.

Aku terperangkap. Terperangkap dalam lembah yang dipenuhi dengan igauan ngeri. Perangkap durjana yang melesapkan semangat dan wibawa diri ini. Terlalu mudah untuk aku terperangkap.

Rasa resah itu timbul dari sebuah projek terbaruku yang perlu aku siapkan. Namun... Aku rasa lemah. Resah. Kerana aku tahu, menulis laporan bukanlah kemahiranku. Aku sentiasa kecundang dalam bab penulisan laporan ini. Terlalu sukar bagiku untuk menumpukan perhatian menulis walaupun sedikit demi sedikit.

Entah mengapa, aku selalu dilanda keraguan dalam setiap beberapa perenggan yang kutuliskan. Entah ilmuku cetek. Entah kemahiranku kurang. Entahkan kurangnya berjumpa dengan klien yang membuatku mengalami kesukaran ini. Entahlah. Allah lebih mengetahui, kerana aku sudah mengalami kebuntuan.

Ah! Apakah ini nasibku? Aku mempersoalkan kelemahan ini. Cuba untuk mencari kembali kekuatan yang masih tersisa. Hanya... Ku tidak ketahui jika masih berbaki kekuatan yang kian luntur dihakis bebanan yang aku akibatkan ke atas diri.

Aku mengimbau beberapa hari yang baru lepas ini. Aku cuba untuk mengingat apa-apa salah silapku yang mungkin kerana itulah Allah menetapkan kelemahan ku ini. Ya... Aku tahu. Ini semua taqdir. Namun... Aku masih tidak mengerti wahai Allah! Apakah sebenarnya yang ingin Kau ajarkan pada hambaMu yang seorang ini? Apakah untuk fiqh awlawiyyat yang aku rasakan makin payah untuk aku laksanakan? Apakah Engkau tetapkan agar aku berdisiplin? Malah lebih dari itu?

Kekhuatiran mula menjelma di dalam qalbu. Aku semakin resah. Takut. Takut aku dijadikan contoh untuk manusia di muka bumi ini.

Oh tidak! Sekali-kali tidak, wahai Allah! Aku terlalu takut aku dijadikan contoh yang buruk. Contoh untuk TIDAK manusia ikuti. Aku takut akan adzab yang sedemikian rupa.

Wahai Allah... Aku juga takut. Takut fitnah yang mungkin melanda dunia da'wah lantaran kelemahanku yang memanggil diri sebagai adDa'ie ini wahai Allah.

Terdorong oleh perasaan takut yang tiba-tiba menyelubungi qalbu, aku melihat jam.

Ah! Lewatnya masa! Cepatnya masa berlalu. Terlalu lama aku mengelamun. Maghrib kini di pertengahan waktunya. Aku lantas bergegas ke tandas. Menyucikan diri untuk menunaikan satu kewajipan.

- 'Umayr SRA

Search The Web