Redirect You

This page is just an archive for all my old posts. My new blog is at blog.sayfurrahman.com. Thank you.

Showing posts with label Stories. Show all posts
Showing posts with label Stories. Show all posts

18 March 2007

Taubat

Pernah tak rasa bersalah?
Pernah tak buat dosa?
Selalu tak ulang dosa?

Kalau jawapan kita terhadap semua yang di atas tuh adalah "ya". Cuba fikirkan pula, adakah kita bertaubat? Atau kita rasa tak guna bertaubat sekiranya akan ulang balik buat dosa tuh?

Sini plak nak tanya soalan yang lain sikit kategorinya. Rasanya la kan... Hati kita tergolong dalam jenis mana, hati keras, hati mati atau hati lembut? Pernah tak rasa kotor sangat diri nih?

Jawab sendiri dalam hati sendiri untuk hati sendiri. Jawapan bagi diri aku, semuanya ya.

Pernah suatu ketika aku berasa terlalu kotor diri saya dengan dosa yang entah sekian kali tak terbuang-buang jugak. Pernah juga saya hampir-hampir putus asa dengan taubat yang aku kira memain-mainkan Tuhan. Mana taknya... Taubat, buat lagi dosa... Taubat, buat lagi dosa... Taubat, buat lagi dosa...

Argh! Sampai satu tahap tuh, rasa macam diri nih kurang ajar sangat. Sampai tahap tuh aku memegang fahaman menangguh taubat sebab malu, takut-takut bila buat lagi lain kali Allah tak terima taubat tuh.

Tapi... Bila tadi berjumpa dengan Ustaz, hati ku terubat. Jiwa ku lebih tenang setelah mendengar penjelasannya.

Rupa-rupanya... AKU TERSILAP. SALAH sekali konsep taubat yang begitu. Astaghfirullah!

Dia terangkan... Manusia tak lari dari berbuat dosa. Dia terangkan... Insan tak dinamakan insan, kalau tak kerana sifat pelupanya (nisyan). Dia terangkan, bila buat dosa tuh teruslah sedar. Terus bertaubat. Terus pohon ampun dari Allah yang Maha Esa.

Hati saya luluh... Sedar kerana terlalu besar rahmat Allah yang Maha Pengasih. Terlalu besar kasihnya pada manusia yang sedia berserah diri kepadaNya. Terlalu mudah Dia mengampunkan dosa, walaupun terlalu mudah manusia melakukannya.

Ustaz sambung... Taubat yang terakhir bila kita berhenti akhirnya dari melakukan dosa tersebut itulah yang dinamakan taubat nasuha.

Aku berusaha ketika ini untuk menahan air mata yang kian berkumpul dari jatuh. Terlerai kekaburan dalam benak jiwaku yang selama ini menyebabkan aku terasa sangat berat. Berat untuk memohon ampun sesuatu yang aku takuti aku menyebabkanNya MURKA. Takut DIA murka kerana taubat yang aku kira seakan-akan mempermainkanNya. Takut sekali!

Kini jiwaku dipenuhi rasa penyesalan yang amat. Aku takut segala dosaku yang tertangguh untuk aku pohon ampun darinya memberatkan hatiku ini. Aku tahu... Hatiku masih lemah. Masih tak sanggup aku tolak desakan nafsu yang adakala membakar jiwa. Masih tak sanggup aku pagari diri ini dari godaan syaitan durjana.

Aku pasrah, Berserah kini pada Allah yang padaNya segala kuasa dan asa. PadaNya aku berserah. Tak mampu lagi aku menafikan kelemahan diri ini yang terlalu amat.

Aku imbasi kembali dosa-dosaku yang kembali menghantui kalbu. Aku beristighfar dalam aku menumpu perhatian terhadap apa yang Ustaz perkatakan.

Ustaz menyambung... Bahawa dulu ada seorang soleh yang dia tahu bila do'a beliau diterima. Iaitu bila tiba-tiba beliau merasakan suatu rasa bersalah yang amat sangat, dan bila beliau berdo'a, do'anya tanpa skrip. Air matanya mengalir. Lancar do'a...

Aku mengimbas... Pernah suatu ketika aku juga begitu. Hanya bila mengimbau diri aku yang terbaru ini aku hampa. Aku tidak mampu istiqamah dengan usahaku itu. Cepat-cepat aku menyebut dalam hati, semoga Allah tetapkan hatiku atas ketaqwaan kepadanya. Atas iman yang benar. Atas landasan da'wah dan jihad yang betul. Semoga Allah tetapkan hatiku untuk terus berjuang. Dan berjuang. Dan berjuang. Sehingga aku syahid atau bertemu redhaNya di alam barzakh sana.

10 March 2007

Cerpen: Beban dan Tanggungan

Aku termangu. Termenung memandang skrin komputer yang berkelip-kelip. Tidak tahu apa yang harus ku buat.

Bukan sekali. Namun sudah beberapa hari aku mengalami kebuntuan yang mengumpul rasa resah di dada. Rasa resah yang kian membawa kekusutan fikiran. Dan ianya berputar tanpa belas. Dalam pusingan demi pusingan tindakan yang saling mengukuhkan yang lain.

Aku terperangkap. Terperangkap dalam lembah yang dipenuhi dengan igauan ngeri. Perangkap durjana yang melesapkan semangat dan wibawa diri ini. Terlalu mudah untuk aku terperangkap.

Rasa resah itu timbul dari sebuah projek terbaruku yang perlu aku siapkan. Namun... Aku rasa lemah. Resah. Kerana aku tahu, menulis laporan bukanlah kemahiranku. Aku sentiasa kecundang dalam bab penulisan laporan ini. Terlalu sukar bagiku untuk menumpukan perhatian menulis walaupun sedikit demi sedikit.

Entah mengapa, aku selalu dilanda keraguan dalam setiap beberapa perenggan yang kutuliskan. Entah ilmuku cetek. Entah kemahiranku kurang. Entahkan kurangnya berjumpa dengan klien yang membuatku mengalami kesukaran ini. Entahlah. Allah lebih mengetahui, kerana aku sudah mengalami kebuntuan.

Ah! Apakah ini nasibku? Aku mempersoalkan kelemahan ini. Cuba untuk mencari kembali kekuatan yang masih tersisa. Hanya... Ku tidak ketahui jika masih berbaki kekuatan yang kian luntur dihakis bebanan yang aku akibatkan ke atas diri.

Aku mengimbau beberapa hari yang baru lepas ini. Aku cuba untuk mengingat apa-apa salah silapku yang mungkin kerana itulah Allah menetapkan kelemahan ku ini. Ya... Aku tahu. Ini semua taqdir. Namun... Aku masih tidak mengerti wahai Allah! Apakah sebenarnya yang ingin Kau ajarkan pada hambaMu yang seorang ini? Apakah untuk fiqh awlawiyyat yang aku rasakan makin payah untuk aku laksanakan? Apakah Engkau tetapkan agar aku berdisiplin? Malah lebih dari itu?

Kekhuatiran mula menjelma di dalam qalbu. Aku semakin resah. Takut. Takut aku dijadikan contoh untuk manusia di muka bumi ini.

Oh tidak! Sekali-kali tidak, wahai Allah! Aku terlalu takut aku dijadikan contoh yang buruk. Contoh untuk TIDAK manusia ikuti. Aku takut akan adzab yang sedemikian rupa.

Wahai Allah... Aku juga takut. Takut fitnah yang mungkin melanda dunia da'wah lantaran kelemahanku yang memanggil diri sebagai adDa'ie ini wahai Allah.

Terdorong oleh perasaan takut yang tiba-tiba menyelubungi qalbu, aku melihat jam.

Ah! Lewatnya masa! Cepatnya masa berlalu. Terlalu lama aku mengelamun. Maghrib kini di pertengahan waktunya. Aku lantas bergegas ke tandas. Menyucikan diri untuk menunaikan satu kewajipan.

- 'Umayr SRA

08 March 2007

Pasrahkan Diri

Aku lantas terjaga.

Kegusaran menghantui benak fikiranku yang gusar. Gusar akibat mimpi yang kukira tidak keruan maknanya.

Aku beristighfar. Astaghfirullahal'azhim. Ku cuba untuk mententeramkan jiwa yang resah ini.

Aku bangun. Segera mengingatkan diri kepada Allah. Tuhan yang Maha Pencipta. Tuhan yang Maha Kuasa. Aku segera mengucapkan, Laa ilaha illa Allah... Kalimah tauhid yang Rasulullah diutuskan untuk menyampaikannya.

Aku menyapu mukaku. Mengurut-urut dahiku yang berkedut menahan gundah. Jemariku ku leretkan mengurut seluruh anggota kepalaku menurun ke leher.

Aku bangkit dari pembaringan, lantas aku duduk di sisi katil. Masih berfikir. Berfikir akan mimpi yang menghantui fikiranku. Mahu sahaja nafsuku mentafsir pelbagai perkara dari sudut yang pelbagai juga. Namun ku tolak semua itu. Aku tahu. Betapa mimpi mudah dibuat mainan syaitan arRajiim.

Perlahan-lahan aku mengangkat diriku. Berdiri. Membiarkan darah mengalir ke seluruh badan. Membiarkan kembali tenaga yang hilang ketika tidur. Masih aku beristighfar dan berdzikir.

Aku merujuk jam dinding. Putih. Sengaja aku pilih putih, dengan jarumnya hitam. Mudah untuk ku rujuk waktu pada malam yang hening gelap gelita.

Jam mempamerkan pukul dua setengah pagi. Masih awal. Masih muda hari ini. Namun aku sedar. Jika aku tidak ambil peluang ini, maka aku akan rugi. Tertinggal untuk mengutip saham akhirat. Saham yang waktunya terhad untuk dikumpul pada waktu pagi. Pada waktu dan ketika makhluk masih tidur, melainkan jiwa yang merdeka dari dunia. Jiwa yang inginkan kebahagian yang melebihi apa yang dikecapnya di alam fana ini.

Aku memaksa tubuh yang masih kemalasan ini ke bilik air. Segera ku tunaikan hajat jasad yang terkumpul tika tidurku. Kemudian aku bersuci dengan kaedah penyucian yang begitu hikmah. Wudhu'.

Sebuah kaedah penyucian yang diajarkan arRasul (saw) kepada ummah. Penyucian yang terangkum di dalamnya sebuah penghayatan menyucikan jiwa. Sebuah penghayatan untuk terus mengaplikasikan sebuah deen dalam kehidupan seharian. Betapa mudahnya agama. Betapa hebatnya hikmah yang Maha Pencipta. Dijadikannya sesuatu bukan untuk menyusahkan, malah untuk memudahkan dan membantu hambaNya. Ku ucapkan Allahuakbar dengan kekaguman padaNya yang bertandang di onak fikiranku.

Selesai aku bersuci, aku keluar. Aku membentang sejadah. Bersedia untuk pasrahkan diri padaNya.

Niat aku pasang di dalam dada. Allahuakbar. Solat malamku bermula. Di dalam solat aku cuba untuk mengahayati bait-bait ayat-ayat kasih Allah yang kualunkan sendirian. Sebuah nukilan agung...

"Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang Memelihara dan Mentadbirkan sekalian alam. Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari akhirat). Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan. Tunjukilah kami jalan yang lurus. Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat." (alFatihah:1-7)

Aku cuba untuk mengkhusyu'kan diri. Pasrah dan berserah kepada Allah. Aku teruskan bacaanku.

"Saat yang tetap berlaku itu. Apakah dia sifat dan keadaan saat yang tetap berlaku itu? Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui tentang sifat dan keadaan saat yang tetap berlaku itu? (Saat itu ialah hari kiamat). Kaum Thamud dan Aad telah mendustakan hari (kiamat) yang menggempar dan mengharukan itu. Maka (masing-masing menerima azab dunianya), adapun Thamud (kaum Nabi Soleh), maka mereka telah dibinasakan dengan (petir) yang melampau dahsyatnya. Adapun Aad (kaum Nabi Hud), maka mereka telah dibinasakan dengan angin ribut yang kencang, yang melampau kencangnya. Yang diarahkannya menyerang mereka tujuh malam lapan hari terus-menerus; (kalaulah engkau menyaksikannya) maka engkau akan melihat kaum itu bergelimpangan mati, seolah-olah mereka batang-batang pohon kurma yang (tumbang dan) lompang. Dengan yang demikian, dapatkah engkau melihat lagi sisa-sisa mereka (yang masih hidup)?" (alHaaqqah:1-8)

Lantas air mataku jatuh berderai. Aku tersedu. Aku takut. Aku takut wahai Allah! Aku tidak mahu menjadi seperti itu ya Allah! Aku tidak mahu diseksa sedemikian ya Allah! Aku takut!! Aku takut dengan 'adzab seksaMu... Sekalipun didunia ini ya Allah...

Aku tundukkan kepalaku. Air mataku masih mengalir. Mengalir dengan rasa kesal atas dosa yang telah banyak ku lakukan. Sedar atau tidak sedar aku mengerti bahawa aku masih manusia. Dan aku tahu. Manusia tidak akan sekali-kali terlepas dari berbuat dosa.

Aku memohon. Berharap. Moga semua dosaku Engkau ampunkan wahai Allah. Moga segala silapku Engkau maafkan. Wahai Allah. Wahai arRahman, wahai arRahiim.

Sehabisnya malam itu gunakan dengan sempurna. Aku hayati sujudku. Aku penuhkan hatiku sedayaku dengan keikhlasan sekadar yang ku termampu. Kerana aku tahu. Mungkin itulah saat terakhirnya hidupku...


- 'Umayr SRA, cuba menghayati cinta rabbaniy melalui kisah dan tulisan.

p/s: Gambaran sketsa di atas bukanlah pengalaman penulis. Tetapi ambillah sekadar mana untuk mengubat jiwa yang kian terlupa.

Search The Web